Kalam Insani (kalam_insani) wrote,
Kalam Insani
kalam_insani

Sifat Qidam

28 RABIULAKHIR 1434 HIJRAH

Wajib atas tiap-tiap mukallaf mengiktikadkan dalam hati bahawa wajib bagi ALLAH mempunyai sifat-sifat yang sempurna yang layak dengan keadaan sifat ketuhananNYA yang tidak terhingga bilangannya. Wajib dalam ayat ini membawa 2 maksud yang berbeza.

1) Wajib atas tiap-tiap mukallaf
Wajib ini adalah hukum syarak. Ertinya mesti ada pada diri setiap mukalaf. Jika tidak ada maka hukumnya adalah berdosa. Hukum syarak adalah undang-undang ALLAH swt.

Siapakah mukallaf itu?
Mukalaf adalah orang yang telah diberati hukum syarak. Ada 3 syarat untuk menjadi mukalaf. Ketiga-tiga syarat ini mesti ada pada diri mukalaf itu kerana jika satu syaratnya tidak ada, maka gugurlah hukum mukallaf terhadapnya.

Syarat-syarat Mukallaf:-

  • sihat akal

  • baligh

  • sampai seruan agama Islam

2) Wajib bagi ALLAH
Wajib ini adalah hukum akal. Untuk mengenal ALLAH bukan dengan melihatNYA melalui pacaindera tetapi mengenal ALLAH adalah melalui hukum akal. Akal mesti terima bahawa ALLAH mempunyai sifat-sifat sempurna yang tidak terhitung bilangannya yang hanya layak untuk DIRI yang mempunyai sifat ketuhanan.

Walaupun sifat sempurna ALLAH tidak terhitung bilangannya, namun yang wajib diketahui dan dipelajari oleh mukalaf adalah sebanyak 20 sifat sahaja. 20 sifat ALLAH ini boleh difahami oleh manusia yang berakal dalam usaha mengenal ALLAH. Sifat-sifat ini ada hubungannya dengan alam. Alam ada hubungan yang rapat dan erat dengan diri manusia.

Setiap sifat ALLAH yang hendak diterima akal mestilah disertakan dengan bukti atau dalil. Hanya akal yang akan menerima bukti atau dalil terhadap kebenaran sifat-sifat ALLAH itu. Dalil dalam membuktikan sifat ALLAH terbagi 2 iaitu:-

  • dalil naqli (bukti al-Qur'an)

  • dalil aqli (bukti akal)

Dalam bab kepercayaan kepada ALLAH kita tidak boleh bertaklik iaitu mengikut fahaman orang lain tanpa kefahaman dan bukti. Kepercayaan itu mesti datang dari hati yang yakin. Hati yang yakin hanya datang apabila akal telah menerima bukti atau dalil terhadap kebenaran sifat-sifat ALLAH itu. Kepercayaan yang berdasarkan taklik akan menjadikan keimanan terhadap ALLAH menjadi batal.

Sifat wajib kedua yang ada pada ALLAH ialah sifat qidam.


ALLAH wajib bersifat qidam mustahil hudus.

Pegertian sifat qidam:-

Erti Qidam ialah sedia adanya. Iaitu adanya ALLAH tidak ada permulaannya. Adanya ALLAH tidak dimulakan dengan tidak ada. Adanya ALLAH tidak diadakan. ALLAH tidak dari sesuatu. ALLAH bukan sesuatu. ALLAH tidak dijadikan dan tidak ada yang menjadikan ALLAH. ALLAH Yang Menjadikan setiap sesuatu. Setiap yang dijadikan bersifat kekurangan.Yang menjadikan setiap sesuatu itulah yang bersifat sempurna dari segala sifat kekurangan. ALLAH wajib bersifat Maha Sempurna dan mustahil bersifat kekurangan.  Sifat qidam adalah sifat kesempurnaan yang hanya layak ada pada ALLAH dengan keadaan sifat ketuhananNYA.

Dalil naqli (bukti dari al-Qur'an)
Firman ALLAH dalam surah al-Hadiid ayat 3, yang bermaksud; "DIA-lah yang awal dan yang akhir, dan yang zahir serta yang batin; dan DIA-lah Yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."

Erti awal di dalam ayat ialah yang terdahulu yang tidak ada permulaan. Wujudnya ALLAH tidak ada permulaannya. Di awal kejadian ALLAH sudah sedia ada. ALLAH tidak dibatasi oleh tempat dan masa. Tempat dan masa adalah ciptaan ALLAH. ALLAH wujud tanpa tempat dan masa. Tidak adanya masa bererti ALLAH tidak ada masa dahulu (permulaan). Maka jika ALLAH tidak ada masa permulaan, ALLAH sudah pasti bersifat qidam iaitu sedia adanya.

Pegertian sifat hudus:-
Erti hudus ialah baharu. Setiap yang baharu adalah dijadikan (kena jadi). Yang selain ALLAH adalah baharu. Yang selain ALLAH itu adalah alam (makhluk). Maka alam atau makhluk itu adalah hudus (baharu) dan kena jadi.

Yang selain ALLAH ada (wujud) kerana dijadikan. Yang selain ALLAH dimulai dengan tidak ada kemudian menjadi ada. Alam semesta yang mengandungi planet-planet, bintang-bintang, galaxi-galaxi dan segala yang lain yang belum diketahui manusia, pada awalnya adalah tidak ada. Menurut pendapat ahli saintis dan para astronomi (pakar kaji bintang), alam semesta ini terbentuk apabila terjadinya kejadian yang dinamakan sebagai 'Big Bang'.

Teori ini bertepatan dengan ayat 30 surah al-Anbiyaak, yang bermaksud; "Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum bagai benda yang satu, lalu KAMI pisahkan antara keduanya? Dan KAMI jadikan dari air tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?
"


Alam semesta pada awalnya tidak ada (tidak wujud). Kemudian dijadikan
alam itu menjadi ada.


Dan umat manusia itu asalnya adalah tidak ada. Lalu ALLAH mencipta Nabi Adam as dari tanah sebagai manusia pertama yang diwujudkan. Lalu berkembang-biaklah umat manusia sehingga terjadilah diri kita masing-masing pada hari ini. Begitulah segala yang wujud di alam semesta ini adalah dijadikan kerana asalnya ianya tidak ada.

Sifat tidak ada sebelum diadakan adalah sifat kekurangan (lemah) kerana ia memerlukan yang lain untuk menjadikannya. Ertinya ia bergantung kepada yang lain untuk wujud.

Huraian terperinci sifat qidam

Iktikad tauhid adalah seperti berikut:-

Apa yang ada pada ALLAH tidak boleh ada pada yang selain ALLAH.
Apa yang ada pada yang selain ALLAH tidak boleh ada pada ALLAH.

Ertinya tidak boleh sama ALLAH dengan yang selain ALLAH (alam/makhluk). Jika iktikad ini difahami dengan benar, kita akan terhindar dari perbuatan syirik. Untuk memahami setiap sifat ALLAH adalah dengan berpandukan pada iktikad tauhid ini.

Sifat qidam merangkumi:-
1) sifat wajib
2) sifat salbiah
3) sifat istighna'

1) Sifat wajib qidam
ALLAH wajib bersifat qidam. Ertinya ALLAH wujud tidak ada mulanya. ALLAH wujud tidak dijadikan. ALLAH wujud tidak dimulai oleh tidak ada.

Dalil aqli (bukti akal)
Qidam adalah sifat sempurna yang tidak boleh ada pada yang selain ALLAH. Jika ALLAH tidak qidam bererti ALLAH itu dijadikan. Jika adanya ALLAH itu dijadikan bererti ALLAH itu bersifat hudus iaitu memerlukan yang lain untuk wujud. Jika ALLAH memerlukan yang lain untuk wujud bererti ALLAH itu bersifat kekurangan (lemah). Jika ALLAH bersifat kekurangan mustahil ALLAH boleh mencipta alam semesta dan segala isinya.

Untuk menyatakan ALLAH itu bersifat hudus adalah menyamakan ALLAH dengan makhluk. Menyamakan sfat ALLAH dengan sifat makhluk adalah bersalahan dengan iktikad tauhid iaitu tidak boleh sama ALLAH dengan makhluk. Maka jelaslah bahawa sesungguhnya ALLAH itu wajib bersifat qidam dan mustahil bersifat hudus.

2) Sifat salbiah qidam.
Sifat salbiah ialah sifat yang menolak atau menafikan sesuatu yang tidak layak pada DIRI ALLAH. Sifat qidam menolak dan menafikan bahawa:-


  • wujud ALLAH ada permulaan.

  • wujud ALLAH kerana dijadikan.

  • wujud ALLAH didahului oleh tidak ada.

Maka sifat qidam menetapkan bahawa wujud ALLAH adalah sedia adanya.

Sifat salbiah qidam ini tidak dapat dilihat kesannya oleh mata dan tidak dapat difahami dan difikirkan hakikatnya oleh akal. Bagaimanakah sebenarnya keadaan sifat qidam itu? Akal tidak dapat menjawabnya.

Akal adalah hudus (baharu). Setiap yang baharu bersifat kekurangan (lemah). Tidak mungkin bagi yang bersifat kekurangan dapat melampaui yang bersifat Maha Sempurna. Apa yang tidak dapat difikir oleh akal itulah ALLAH.

3) Sifat istighna' qidam.
Sifat istighna' adalah sifat terkaya di seluruh alam. Sifat terkaya (istighna') adalah sifat ketuhanan. Tidak ada Tuhan yang bersifat ketuhanan yang layak disembah, melainkan ALLAH sahaja.

Sifat terkaya qidam membawa erti bahaw
a :-


  • ALLAH tidak memerlukan sesuatu untuk wujud.

  • ALLAH tidak perlu dijadikan untuk wujud.

  • ALLAH tidak didahului oleh tidak ada sebelum wujud.

  • ALLAH tidak ada mula.

Inilah sifat ketuhanan yang terkaya di seluruh alam. ALLAH adalah Maha Kaya dari segala keperluan.

Apa yang ada pada ALLAH tidak boleh ada pada yang selain ALLAH. Inilah sifat ketuhanan terkaya di seluruh alam.

Like this post?

Thank you for reading.
Tags: sifat 20
Subscribe
Comments for this post were disabled by the author