2017

ﺑﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻟﺮﺣﻤﻦ ﺍﻟﺮﺣﻴﻢ

Demi Masa

alarm

thm_Btflywht[A]"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian.
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan yang
berpesan-pesan dalam kebenaran dan berpesan-pesan dalam
kesabaran."
-Surah al-'Asr.

Ingat 5 perkara sebelum 5 perkara
1) Sihat sebelum Sakit.
2) Muda sebelum Tua.
3) Kaya sebelum Miskin.
4) Lapang sebelum Sempit.
5) Hidup sebelum Mati.


Field of Flowers Divider from AnimateIt.net


2017

Maksiat Batin - Ujub

28 JAMADILAKHIR 1439 HIJRAH

Erti ujub ialah merasa hairan pada kelebihan diri sendiri. Rasa hairan itu menjurus kepada perasaan bangga bahawa dirinya mempunyai kelebihan tersebut. Ujub adalah penyakit hati yang tersembunyi dan tidak dapat dilihat orang lain. Ia berbeza dengan takabbur kerana takabbur adalah dengan niat menunjuk-nunjuk kelebihan dirinya samada dengan kata-kata atau perbuatan. Orang yang ujub tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk tetapi hanya merasa dirinya sudah lebih baik dari orang lain.

Dari sebuah hadith Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Imam Al-Thabrani, yang bermaksud; "Bermula 3 perkara yang akan membinasakan (merosakkan) orang yang melakukan; kikir yang diikut-ikut, nafsu yang diturut-turut dan ujub seseorang akan dirinya."

Dan kata-kata Ibnu Maso'd ra. bahawa bermula binasanya manusia ialah apabila dia putus-asa dari rahmat Allah dan dia ujub akan dirinya sendiri.

Jelaslah sifat ujub adalah sifat buruk yang membawa kesan yang amat buruk juga kepada yang empunya diri.

Sebab sifat ujub dilarang ialah kerana apabila orang ujub akan dirinya dia sebenarnya lupa bahawa apa pun yang ada pada dirinya adalah kurnia dan nikmat dari Allah swt semata-mata. Walaupun dia yang usahakan sesuatu untuk dirinya tetapi dia menggunakan apa yang dikurnia Allah kepadanya seperti akal dan tubuh yang sihat. Tanpa akal manusia tidak akan mampu melakukan apa-apa. Manusia sepatutnya merasa semakin rendah diri bila semakin banyak nikmat dan kelebihan yang diperolehi bukan merasa ujub atau takabbur. Orang yang beriman akan ingat bahawa segala nikmat dan kelebihan yang diberi Allah itu adalah satu istidraj (umpan) untuk menguji akan dirinya. Orang beriman akan menjadi lebih tawaduk (merendah diri) bila semakin banyak nikmat dan kelebihan yang diperolehinya. Dia akan menjadi semakin takut kepada Allah kerana bimbang akan menjadi ujub dan takabbur.

Perkara-perkara yang boleh mendatangkan rasa ujub:-
1) elok paras rupanya
2) suaranya yang merdu
3) darjat keturunan yang baik
4) banyak harta
5) kedudukan yang berpengaruh (ramai pengikut)
6) akalnya cerdas dan bijak
dan bermacam-macam lagi.

Untuk menjauhi dari sifat ujub ini, hendaklah kita sentiasa ingat bahawa semua adalah dari Allah swt dan Allah boleh mengambil apa jua yang diberi kepada kita pada bila-bila masa sahaja yang Dia kehendaki. Tanamkan sifat bersyukur dan reda dengan apa yang ditentukan Allah untuk kita dan selalulah ucapkan "Alhamdulillah".

Wallahu'alam.


Like this post?

Thank you for reading.
2017

Maksiat Batin - Takabbur

30 JAMADILAWAL 1439 HIJRAH

Erti takabbur atau sombong itu ialah menilai diri sendiri lebih baik dan lebih sempurna dari orang lain serta menolak kebenaran dengan merendahkan orang lain. Dari sebuah hadith Rasulullah saw yang bermaksud; "Kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendahkan manusia."

Merendahkan manusia samalah seperti kita merasa diri kita adalah lebih baik dan lebih sempurna dari orang lain. Menolak kebenaran adalah menolak kebenaran Allah. Barangsiapa yang menolak kebenaran dari Allah samalah seperti dia takabbur akan dirinya sendiri dan merendahkan Allah.

Allah murka kepada orang yang takabbur kerana sifat takabbur adalah pakaian Allah, Tuhan Yang mencipta seluruh alam, Yang menguasai seluruh alam, Yang terkaya di seluruh alam dan seluruh alam berhajat kepadaNya. Maka hanya Allah yang layak untuk pakaian takabbur itu bukan makhlukNya yang lain.

Dari sebuah hadith qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, bahawa Rasulullah saw telah bersabda bahawa Allah telah berfirman, yang maksudnya: "Ketinggian itu selendangKu, dan kebesaran itu kainKu. Barangsiapa mencabut atau merebut dari Ku akan satu daripada keduanya nescaya Aku akan campakkan dia ke dalam api nereka jahannam, dan tiada aku peduli".

Rasulullah saw bersabda, yang bermaksud; "Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada kesombongan walau seberat biji sawi".

Begitulah Islam melarang umatnya dari mempunyai sifat takabbur atau sombong. Sifat takabbur ini letaknya di dalam hati tidak terlihat pada zahir atau luaran seseorang. Ia adalah satu perasaan di mana hatinya merasa dia ada kelebihan terhadap orang lain. Contohnya dia merasa dirinya
1) lebih banyak ilmu pengetahuan samada duniawi atau ukhrawi
2) lebih banyak amal kebajikan
3) lebih banyak menabur jasa dalam masyarakat
4) lebih banyak mengharungi ujian dan dugaan
5) lebih tampan atau cantik paras rupanya
6) lebih soleh dalam ibadah
dan sebagainya.

Begitu juga jika seserang itu sangat berbangga dengan darjat kedudukan keluarga atau keturunannya atau bangga dengan warna kulitnya yang lebih cerah dari orang lain, ini semua termasuk juga dalam sifat takabbur atau sombong.

Sifat takabbur atau merasa mulia atau merasa keagungan dalam diri tidak patut sekali-kali dimiliki oleh hati manusia kerana ia adalah milik Allah swt semata-mata. Manusia bersifat lemah tidak patut meniru atau berlagak dengan sifat-sifat Allah. Ia bolehlah diibaratkan seperti hamba sahaya yang meniru Rajanya dengan meletakkan makhota di atas kepalanya. Tentulah Raja itu akan murka dan menghukum si hamba itu tadi.

Orang yang bersifat takabbur adalah seperti keadaan orang yang kafir dan munafik kerana enggan menerima kebenaran Allah. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 206, yang bermaksud; "Apabila dikatakan kepada mereka; Takutlah kepada Allah, kesombongan nya mendorong melakukan perbuatan dosa. Maka cukuplah baginya neraka jahannam".

Bagi mereka yang takabbur dengan amal soleh dan merasa ibadahnya adalah lebih baik dari orang lain, ingatlah sabda Rasulullah saw yang bermaksud; "Ketakwaan itu di sini tempatnya."  Rasulullah berkata sambil menunjukkan ke dadanya. Ertinya yang patut ada dalam hati kita adalah rasa ketakwaan bukan rasa takabbur atau sombong.

Untuk menghindarkan diri dari sifat takabbur ini, hendaklah kita sentiasa ingat bahawa apa juga kelebihan yang kita miliki adalah datangnya dari Allah jua. Manusia itu bersifat lemah. Apa yang diberi Allah wajiblah disyukuri. Dan bila kita ada kelebihan jangan memandang rendah pada orang lain yang kekurangan. Ingatlah tidak ada manusia yang sempurna kerana kesempurnaan itu adalah milik Allah semata-mata. Tidak ada apa yang perlu di bangga-bangga sangat kerana semua yang kita miliki boleh hilang dalam kerdipan mata sahaja jika Allah kehendaki. Kita tidak tahu apa yang akan terjadi kepada diri kita pada esok hari. Mungkin segala yang ditakabburkan itu akan sirna atau kita yang akan menemui ajal dan meninggal segala yang menjadi kebanggaan kita itu. Maka jauhilah dari merasa takabbur dengan kelebihan kita.

Bersihkanlah hati kita dari sifat takabbur kerana ia adalah maksiat batin yang mendatangkan dosa dan balasan azab dari Allah swt.

Wallahu'alam.


Like this post?

Thank you for reading.
2017

Maksiat Batin - Hubbul Jah

17  RABIULAKHIR 1439 HIJRIAH

Hubbul jah atau cintakan kemegahan adalah salah satu dari sifat mazmumah iaitu sifat-sifat terkeji yang dibenci Allah. Sifat cintakan kemegahan adalah sifat yang buruk dan dilarang Allah swt. Sifat cintakan kemegahan letaknya di dalam hati. Ia akan menghapuskan atau menggantikan rasa ikhlas yang sepatutnya ada ketika melakukan ibadah dan amal kebaikan yang lain. Ibadah atau amal kebaikan yang dilakukan dengan niat untuk mendapat kemegahan adalah tertolak dan tidak diterima Allah. Ini adalah kerana hati yang penuh hubbul jah itu akan menghakis rasa ikhlas kerana Allah semata-mata ketika sedang melakukan amal kebaikan.

Orang yang mempunyai sifat hubbul jah ini terlupa akan hari akhirat kerana sibuk berusaha untuk keduniaannya sahaja. Sedangkan tujuan hidup di dunia ini adalah untuk mencari bekal akhirat sebanyak-banyaknya sebelum kita dipanggil pulang kepadaNya. Negeri akhirat adalah tempat kekal sedang dunia ini hanya untuk sementara sahaja. Orang yang cinta kepada kemegahan dunia akan rugi kerana apa yang megahkan itu akan sirna apabila dia mati dan tidak boleh dibawa ke akhirat.

Firman Allah dalam surah al-Qashash ayat 83, yang bermaksud; "Negeri akhirat itu Kami untukkanbagi orang-orang yang tidak ingin ketinggian (kemegahan) di muka bumi dan tidak pula hendak membuat kerosakan; dan balasan yang baik untuk orang-orang yang berbakti".

Apakah perkara-perkara yang menjadi kemegahan manusia?

Antara perkara yang menjadi kebanggaan dan kemegahan manusia termasuklah:-
1) kekayaan dan kemewahan hidup
2) ramainya anak-anak keturunan
3) kecantikan dan kehebatan fisikal tubuh badan
4) kemasyhuran nama
5) memiliki pangkat dan darjat dalam masyarakat
6) kepandaian dan kelulusan tinggi
7) amalan-amalan ibadat seperti haji, solat, sedekah dan sebagainya.

Dan banyak lagi perkara yang boleh menjadi bahan banggaan dan kemegahan manusia. Ketahuilah semua kemegahan terhadap perkara ini boleh menyebabkan kemurkaan Allah swt.

Dengan bermegah-megah, manusia itu terlupa bahawa semua itu adalah anugerah dari Allah semata-mata dan dengan izinNyalah, mereka memperolehi semua perkara tersebut. Apa yang Allah beri adalah satu ujian sebagaimana firmanNya dalam surah al-Anbiayak ayat 35, yang bermaksud; "Kami menguji dan mencuba kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai ujian dan kepada Kami kamu akan kembali".

Barangsiapa yang bertambah tawaduk dengan ujian itu akan berjaya di akhirat dan barangsiapa yang bermegah-megah atau berputus-asa akan rugi.

Ingatlah peringatan Allah ini untuk kita semua;-

"Barangsiapa suka kepada kehidupan dunia dan perhiasannya, Kami akan sempurnakan (beri ganjaran) bagi usaha-usaha mereka di dunia ini dan mereka tidak akan dirugikan padanya. Merekalah orang-orang yang tidak ada apa-apa bahagian di akhirat melainkan neraka dan terhapuslah di akhirat apa yang telah mereka usahakan (di dunia) dan sia-sialah (rugilah) apa-apa yang mereka kerjakan". -- Maksud firman Allah dalam surah Hud ayat 15 - 16.

Wallahu'alam.



Like this post?

Thank you for reading.
daun keladi ungu

Orang-orang Yang Tidak Boleh Terima Harta Pusaka

22 RABIULAWAL 1439 HIJRAH

Ada 4 golongan orang yang tidak boleh menerima harta pusaka walaupun yang mati itu ada pertalian hubungan keluarga dengannya.

1) Orang bukan Islam
Orang bukan Islam tidak boleh mewarisi harta saudaranya yang telah memeluk agama Islam. Dari sebuah hadith yang disampaikan oleh Usmah bin Zaid, Rasulullah saw telahb sabda, yang bermaksud; "Orang Islam tidak mewariskan (harta pusaka) kepada orang kafir. Dan orang kafir tidak mewariskan kepada orang Islam." -- Riwayat Bukhari dan Muslim.

Jika seorang mualaf itu mempunyai keluarga yang belum Islam, apabila dia meninggal dunia hartanya tidak boleh diwarisi oleh keluarganya itu. Hartanya akan pergi kepada Baitulmal. Namun saudara baru itu masih boleh membuat wasiat untuk ahli keluarganya supaya mereka boleh menerima sedikit hartanya (tidak melebihi 1/3 dari hartanya). Atau dia juga boleh menghadiahkan hartanya kepada ibubapa atau ahli keluarganya semasa dia masih hidup lagi.

2) Orang yang sudah murtad
Apabila orang itu murtad dia telah terkeluar dari agama Islam. Bererti dia bukan lagi orang Islam. Orang bukan Islam tidak boleh mewarisi harta keluarganya yang Muslim. Dan kelurganya juga tidak lagi boleh menerima harta pusakanya jika dia yang meninggal dunia. Hukumnya sama seperti hukum yang pertama tadi.

3) Orang yang membunuh pewaris
Orang yang dengan sengaja membunuh pewaris (si mati yang memliki harta pusaka) akan gugur haknya dari mendapat harta si mati itu. Contoh jika seorang anak membunuh ayah atau ibunya secara sengaja kerana hendak membolot harta mereka, maka haknya sebagai ahli waris akan gugur dan dia tidak boleh menerima harta pusaka tersebut.

Ini adalah bersandarkan dari hadith Rasulullah saw, yang bermaksud; "Tidak ada bagi seorang pembunuh warisan apa pun." -- Hadith riwayat Nasa'i

4) Anak di luar nikah
Anak hasil perbuatan zina tidak mempunyai pertalian nasab dengan lelaki yang bertanggungjawab menghamilkan ibunya. Maka anak itu tidak boleh dibin atau dibintekan kepada lelaki itu. Lelaki itu dinamakan sebagai bapa di luar nikah. Jika lelaki itu bernikah dengan ibunya, lelaki itu akan menjadi bapa tiri kepada anak itu.

Maka anak itu tidak boleh mewarisi harta bapa di luar nikah serta keluarga bapa tersebut. Bapa di luar nikah itu dan ahli keluarganya juga tidak boleh mewarisi harta anak luar nikahnya itu. Anak itu tetap menjadi ahli waris ibu kandungnya dan ahli keluarga dari sebelah ibu. Jika ibunya yang telah menikah dengan bapa luar nikah mempunyai anak-anak hasil dari perkahwinan tersebut, maka anak-anak itu boleh mendapat harta dari anak luar nikah itu sebagai adik-beradik satu ibu.

5) Hamba sahaya
Dalam sistem hamba pada masa dahulu, seorang hamba adalah hak mutlak tuannya. Segala harta dan keluarga si hamba akan menjadi hak tuannya apabila si hamba itu meninggal dunia. Namun hamba itu tidak boleh mewarisi harta benda tuannya apabila tuannya itu pula yang meninggal dunia. Malahan diri hamba itu yang akan diwarisi oleh ahli keluarga tuannya yang lain.

Wallahu'alam.

Tajuk yang baru minggu depan.


Like this post?

Thank you for reading.
bunga ungu

Maksiat Batin - Kikir (Bakhil)

15 RABIULAWAL 1439 HIJRAH

Kikir atau bakhil atau kedekut adalah salah satu dari maksiat batin yang dilarang Allah. Sifat kikir letaknya di dalam hati manusia. Ia adalah sifat mazmummah atau sifat terkeji kerana ia membawa banyak keburukan terhadap kehidupan manusia itu sendiri. Sifat kikir adalah sejenis penyakit hati yang membawa kesan buruk ketika hidup di dunia mahupun ketika di akhirat kelak.

Erti Kikir
Orang yang mempunyai sifat kikir akan merasa sangat sayang kepada hartanya dan sangat keberatan atau enggan berpisah dengan harta tersebut walau dalam hal yang perlu seperti untuk keperluan keluarga apatah lagi untuk hal keagamaan seperti berzakat, bersedekah, berinfak, berwaqaf dan sebagainya. Dia sangat berkira dengan hartanya. Setiap sen yang keluar akan dihitung. Apabila hartanya berkurang dia akan merasa sedih. Apabila hartanya bertambah dia akan rasa sangat gembira dan bahagia. Dia hanya mahu melihat jumlah hartanya bertambah setiap hari bukan berkurang. Inilah tanda-tanda orang yang mempunyai sifat kikir itu.

Rasulullah saw melarang kita dari bersifat kikir atau bakhil ini. Dari sebuah hadith daripada Ibnu Umar ra. bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud; "Jauhkanlah oleh kamu akan dirimu daripada bakhil. Bahawanya binasa umat yang dahulu adalah kerana sifat bakhil." -- Maksud hadith riwayat Abu Daud

Sebuah lagi hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud; "Orang yang pemurah, dekat dia kepada Allah, dekat dia kepada manusia, dekat dia kepada Syurga dan jauh dia dari api Neraka. Dan orang yang bakhil, jauh dia dari Allah, jauh dia dari manusia, jauh dia dari Syurga dan dekat dia kepada api Neraka. Dan orang yang jahil (dalam hal agama) tetapi bersifat pemurah lebih dikasihi Allah daripada ahli ibadat yang bakhil."

Dari hadith-hadith ini menjelaskan bahawa sifat kikir atau bakhil akan membawa kebinasaan kepada kehidupan umat di dunia dan di akhirat dia akan mendapat balasan api neraka.

Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 180, yang bermaksud; "Dan janganlah orang-orang yang bakhil dengan apa yang Allah telah berikan kepada mereka dari kurniaNya itu menyangka bahawa bakhil itu baik buat mereka, bahkan ianya adalah buruk buat mereka. Apa yang mereka bakhilkan itu akan digantung di leher mereka pada hari kiamat; dan bagi Allahlah wariasan langit dan bumi; dan Allah itu amat Mengetahui apa yang kamu kerjakan."

FirmanNya lagi di dalam surah at-Taubah ayat 35, yang bermaksud; "Iaitu pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu di dalam Neraka Jahannam, lalu ditampal di dahi mereka, dan di rusuk mereka serta di belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka); inilah apa yang kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasakanlah (azab) apa yang kamu simpan itu."

Dua ayat di atas ini menerangkan azab yang menunggu orang yang kikir iaitu orang yang suka mengumpul harta dan tidak mahu membelanjakan harta.

Mengapakah sifat kikir ini diberi balasan  azab yang amat berat?
Sifat kikir tidak akan mendatangkan keuntungan samada untuk diri orang itu sendiri mahupun untuk masyarakatnya. Harta yang disimpan tidak mendatangkan apa-apa manfaat kecuali dibelanjakan untuk kebaikan keluarga dan masyarakatnya. Harta yang dimiliki itu sebenarnya bukanlah milik mutlaknya sendiri. Walaupun dia yang berusaha dan  bekerja keras untuk mendapatkan harta itu, hakikat sebenarnya hartanya itu adalah kurnia dari Allah. Setiap yang diberi Allah adalah satu amanah. Dan setiap amanah akan ditanya kelak di akhirat. Harta yang kita miliki ada hak orang yang telah ditetapkan Allah. Harta itu juga boleh diambil kembali oleh Allah dengan mudah seperti berlaku kebakaran atau kecurian atau ditipu orang atau pun yang empunya harta itu tiba-tiba mati dan hartanya semua diambil oleh ahli waris.

Masyarakat juga akan kesusahan jika setiap orang kikit untuk belanja ke jalan Allah seperti berzakat, bersedekah, berinfak dan sebegainya. Bagaimana hendak bina masjid, surau, madrasah dan baitulmal jika umat Islam itu bersifat kikir?

Ingatlah pula bila di akhirat, harta itu akan ditanya dari mana kita dapat harta itu dan ke mana dibelanjakannya.Apakah telah dilaksanakan segala hukum dalam memiliki harta seperti berzakat, pergi haji, berwakaf dan sebagainya? Halal harta itu akan dihisab dan haramnya juga akan dihisab.

Maka janganlah biarkan diri kita rugi kerana sifat kikit ini. Gunakanlah harta yang kita ada selagi masih ada manusia yang memerlukannya kerana akan datang satu masa di mana manusia tidak lagi mahu menerima sedekah dan harta kita sudah tidak bernilai lagi. Selamatkan diri kita dari sifat kikir seperti yang disuruh Allah dalam surah at-Thagabun ayat 16, yang bermaksud; "Barangsiapa terselamat daripada kebakhilan dirinya, maka mereka itu ialah orang-orang yang mendapat kejayaan."

Wallahu'alam.


Like this post?


Thank you for reading.
bunga air merah

Sifat Harus Bagi Allah

26 SAFAR 1439 HIJRAH

Sifat Harus (Jaiz) ertinya sifat yang tidak wajib ada pada Diri Allah dan tidak pula mustahil ada pada DiriNya. Sifat Harus bagi Allah hanya satu sahaja iaitu hendak menjadikan (melakukan) sesuatu atau tidak hendak menjadikan (melakukan) sesuatu.

Semua yang ada di dalam alam ini tidak wajib adanya. Yang wajib ada hanyalah Allah. Yang selain Allah adalah makhuk. Makhluk tidak wajib ada melainkan dikehendaki Allah untuk ada. Maka makhluk itu bersifat harus iaitu ia harus ada jika dikehendaki Allah dan harus tidak ada jika tidak dikehendaki Allah.

Tidak wajib bagi Allah menjadikan sesuatu ertinya tiada siapa yang boleh memaksa kehendak Allah.
Tidak mustahil bagi Allah menjadikan sesuatu ertinya tiada sesiapa yang boleh menghalang kehendak Allah.
Inilah Sifat Harus Allah.

Contoh:-
1) Harus bagi Allah untuk masukkan hambaNya yang durhaka ke dalam Syurga.
Seseorang itu masuk Syurga adalah dengan Rahmat Allah bukan kerana Allah wajib (terpaksa) memasukkannya ke Syurga. Allah memberi Rahmat kepada sesiapa yang dikehendakiNya bukan kerana terpaksa (wajib). Kalau Allah hendak memberi Rahmat kepada hamba yang durhaka tiada siapa yang boleh halang kehendak Allah itu.

2) Harus bagi Allah untuk masukkan hambaNya yang taat ke Neraka.
Seseorang itu masuk Neraka adalah dengan murka Allah. Allah Maha Mengetahui niat dan keikhlasan hati setiap hamba yang membuat kebaikan dan ibadah. Samada dia itu riak, takabbur, ujub atau sum'ah semuanya diketahui Allah. Sesiapa yang melakukan ibadah bukan kerana Allah semata-mata akan menerima murka Allah. Dan haruslah bagi Allah untuk memasukkannya ke dalam Neraka.

3) Harus baik Allah menerima atau menolak doa seseorang hambaNya.
Samada doa kita terkabul atau tidak, itu adalah atas kehendak Allah. Tidak wajib bagi Allah untuk mengkabulkan doa-doa hambaNya sekelian. Maka kita tidak boleh mengeluh atau kecewa bila doa-doa kita belum lagi dikabulkan. Sebaik-baiknya hendaklah kita redha dan bertawakal.

Wallahu'alam.



Like this post?

Thank you for reading.
bunga apek

Sifat Mustahil Kaunuhu Allah

10 SAFAR 1439 HIJRAH

Sifat-sifat Allah tidak boleh dipisahkan dari Zat Allah. Kesemua sifat 20 yang wajib bagi Allah terletak pada Zat Allah. Sifat Zat yang mudah difaham ada 6 iaitu:-
1) Wujud - ada
2) Qidam - tiada mula
3) Baqa'  - kekal
4) Mukhalafatuhu lilhawadits - tidak sama dengang yang baharu
5) Kiamahu binafsih - berdiri dengan sendiriNya
6) Wahdanniyah - tunggal atau esa

Ertinya:-
1) Yang ada itu adalah Zat Allah
2) Yang tiada mula iatu adalah Zat Allah
3) Yang kekal itu adalah Zat Allah
4) Yang tidak sama dengan yang baharu itu adalah Zat Allah
5) Yang berdiri dengan sendiriNya itu adalah Zat Allah
6) Yang tunggal (esa) itu adalah Zat Allah

Sementara 7 lagi sifat wajib Allah yang juga terletak pada Zat tapi tidak mudah untuk difaham ialah:-
1) Qudrah - berkuasa
2) Iradah - berkehendak
3) Ilmu  - mengetahui
4) Hayat - hidup
5) Sama' - mendengar
6) Basar - melihat
7) Kalam - berkata-kata

Ketujuh-tujuh sifat wajib ini juga terletak pada Zat bukan di luar Zat Allah. Ertinya:-
1) Zat Allah itu adalah Kuasa
2) Zat Allah itu adalah Kehendak
3) Zat Allah itu adalah Ilmu
4) Zat Allah itu adalah Hidup
5) Zat Allah itu Yang Mendengar tanpa perlu kepada perantaraan.
6) Zat Allah itu Yang Melihat tanpa perlu kepada perantaraan
7) Zat Allah itu Yang berkata-kata tanpa perlu kepada perantaraan

Ketujuh-tujuh sifat ini disebut sebagai sifat-sifat kaunuhu. Kaunuhu bermaksud "Keadaan Diri Allah".

Sifat Mustahil Kaunuhu Allah

Ketujuh-tujuh sifat wajib kaunuhu Allah ini mempunyai lawannya iaitu 7 sifat mustahil kaunuhu Allah:-

1) Kaunuhu 'Ajizan - Keadaan Diri Allah yang lemah
Zat Allah itu adalah Kuasa. Allah tidak perlu kepada sesuatu untuk menjadi berkuasa. Kuasa itu adalah ZatNya sendiri. Jika diiktikadkan bahawa Allah perlu kepada kuasa untuk berkuasa maka kita telah mengkiktikadkan bahawa Allah itu bersifat Kaunuhu 'Ajizan iaitu Keadaan Diri Allah itu lemah. Ini adalah mustahil bagi Allah.

2) Kaunuhu Karihan - Keadaan Diri Allah yang terpaksa
Zat Allah itu adalah Kehendak. Kehendak adalah Zat Allah. Tidak ada sesuatu yang boleh memaksa atau menghalang Allah dari Kehendaknya Sendiri. Maka mustahil Allah bersifat Kaunuhu Karihan (terpaksa atau dipaksa)

3) Kaunuhu Jahilan - Keadaan Diri Allah yang bodoh
Zat Allah itu adalah Ilmu. Allah tidak perlu kepada ilmu untuk mengetahui sesuatu kerana Ilmu itu adalah ZatNya. Jika diiktikadkan bahawa Allah mengetahui kerana Allah mendapat ilmu dari seuatu sumber maka kita telah mengiktikadkan bahawa Allah itu bersifat Kaunuhu Jahilan iaitu Keadaan Diri Allah itu bodoh. Ini adalah mustahil bagi Allah.

4) Kaunuhu Maitan - Keadaan Diri Allah yang mati
Zat Allah itu adalah HIdup. Allah tidak perlu kepada sesuatu untuk hidup kerana HIdup itu adalah ZatNya. Jika diiktikadkan bahawa Allah perlu kepada sesuatu untuk hidup maka kita telah mengkiktikadkan bahawa Allah itu bersifat Kaunuhu Maitan. Iaitu Keadaan Diri Allah itu mati. Ini adalah mustahil bagi Allah.

5) Kaunuhu A'maa - Keadaan Diri Allah yang buta
Zat Allah yang melihat tanpa  perlu kepada perantaraan seperti mata. Jika terlintas dalam hati bahawa Allah melihat dengan mata maka kita telah mengiktikadkan bahawa Allah itu bersifat Kaunuhu A'maa iaitu Keadaan Diri Allah yang buta. Ini adalah mustahil bagi Allah.

6) Kaunuhu As-samma - Keadaan Diri Allah yang pekak
Zat Allah yang mendengar tanpa perlu kepada perantaraan seperti telinga. Jika terlintas di dalam hati bahawa Allah mendengar dengan telinga maka kita telah mengiktikadkan bahawa Allah bersifat Kaunuhu As-samma iaitu Keadaan Diri Allah yang pekak. Ini adalah mustahil bagi Allah.

7) Kaunuhu Abkama - Keadaan Diri Allah yang bisu
Zat Allah yang berkata-kata tanpa perlu kepada perantaraan seperti lidah dan suara. Jika dilintaskan dalam hati bahawa Allah berkata-kata dengan lidah dan suara maka kita telah mengiktikadkan bahawa Allah itu bersifat Kaunuhu Abakama iaitu Keadaan Diri Allah yang bisu. Ini adalah mustahil bagi Allah.



Like this post?

Thank you for reading.
bunga merah jambu

Sifat Mustahil Allah - Al-Bakamu

25 MUHARAM 1439 HIJRAH

Sifat mustahil bagi Allah adalah sifat-sifat yang wajib ditolak dari Diri Allah. Sifat mustahil menguatkan lagi sifat wajib yang mesti diisi dalam iktikad kita terhadap Allah.

Sifat mustahil adalah sifat makhluk. Allah tidak boleh sama seperti makhluk pada Zat, sifat dan perbuatan. Jika sifat Allah sama dengan sifat makhluk ertinya kita telah menyamakan Allah dengan makhluk. Samakan Allah dengan makhluk adalah syirik.

Sifat Mustahil Allah -  al-Bakamu
Sifat al-bakamu ertinya tidak boleh berkata-kata atau bisu. Allah bersifat bisu tidak sama seperti bisunya makhluk. makhluk dikatakan bisu bila dia tidak boleh bercakap atau mengeluarkan suara. Bagi Allah, sifat al-bakamu itu lebih dari tidak boleh berkata-kata. Allah dikatakan bersifat al-bakamu jika ada terlintas di dalam hati kita ikitkad (kepercayaan) berikut ini:-

1) Allah berkata-kata mengeluarkan suara, bunyi dan huruf
2) Allah berkata-kata melalui perantaraan seperti lidah
3) Allah berkata-kata dengan isyarat atau signal
4) Allah berkata-kata tidak berterusan
5) Allah berkata-kata ada mula dan ada akhir

Jika dalam hati kita ada lintasan-lintasan seperti ini, maka kita telah mengiktikadkan bahawa Allah itu bersifat al-bakamu atau bisu. Kepercayaan-kepercayaan seperti ini akan menjejas akidah kita terhadap Diri Allah swt. kerana tanpa kita sadari kita telah samakan Allah dengan makhluk. Sedangkan Allah wajib bersifat Kalam (Berkata-kata). Sifat Kalam adalah sifat ketuhanan yang tidak boleh ada pada makhluk.

Sifat wajib Kalam bagi Allah adalah seperti berikut:-
1) Allah berkata-kata tanpa mengeluarkan suara, bunyi dan huruf
2) Allah berkata-kata tanpa perlu kepada perantaraan seperti lidah
3) Allah berkata-kata tanpa isyarat atau signal
4) Allah berkata-kata berterusan tanpa henti
5) Allah berkata-kata tiada awal tiada akhir
6) Allah berkata-kata tanpa rasa penat atau bosan

Sifat Kalam bagi Allah ini tidak boleh ada pada makhluk kerana ia adalah sifat ketuhanan. Sifat ketuhanan adalah sifat yang terkaya, maha sempurna dan tidak perlu kepada sesuatu. Sifat Kalam adalah sifat Zat Allah yang Qidam dam Baqa' (tiada permulaan dan tidak akan berakhir). Seluruh alam ini bergerak kerana adanya perintah (Kalam) dari Allah yang tiada henti-henti. Jika Allah tidak bersifat Kalam iaitu tidak berkata-kata maka seluruh alam akan binasa.

Maka wajiblah Allah itu bersifat Kalam dan mustahil Allah bersifat al-bakamu.



Like this post?

Thank you for reading.
bunga apek

Sifat Mustahil Allah - Al-Umyu

14 MUHARAM 1439 HIJRAH

Sifat Mustahil wajib ditolak dari Diri Allah. Allah tidak boleh ada sifat-sifat mustahil kerana sifat-sifat mustahil adalah sifat-sifat kekurangan yang ada pada diri makhluk. Jika Allah ada sifat mustahl ertinya Allah sama seperti makhluk. Ini adalah mustahil kerana Allah bersifat ketuhanan yang terkaya di sekelian alam (tiada kekurangan) dan sekelian alam berhajat kepadaNya.

Sifat Mustahil Allah - al-Umyu
Al-Umyu ertinya buta iaitu tidak boleh melihat. Apakah yang dimaksudkan dengan Allah iatu bersifat al-Umyu (buta)? Dalam ilmu tauhid buta bagi Allah tidak sama seperti buta bagi makhluk. Apabila makhluk dikatakan buta ertinya ia tidak boleh melihat apa jua pun. Dunianya menjadi gelap gulita. Allah dikatakan buta apabila ada terlintas di dalam hati bahawa Allah mempunyai beberapa kekurangan ini:-

1) Allah tidak boleh melihat kesemuanya serentak pada satu masa
2) Allah kurang melihat kerana cuai atau lalai
3) Allah melihat melalui pancaindera seperti mata
4) Allah tidak boleh melihat yang terlalu jauh atau terlalu kecil atau yang tersembunyi
5) ada yang terlepas dari penglihatan Allah
6) Allah tidak melihat berterusan
7) Allah tersalah lihat

Semua iktikad ini membawa erti Allah itu bersifat al-Umyu (buta). Ini adalah mustahil bagi Allah. Allah bersifat Maha Sempurna maka tidak mungkin Allah mempunyai sifat kekurangan. Alam ini dicipta dengan begitu telilti dan halus perbuatannya. Adalah mustahil yang mencipta alam yang hebat ini tidak dapat melihat dengan sempurna.

Allah wajib bersifat Basar iaitu Maha Melihat. Allah melihat dengan sifat ketuhanan yang Maha Sempurna. Tiada makhluk yang melihat seperti Allah melihat. Wajib isikan dalam hati bahawa :-
1) Allah melihat kesemuanya, keseluruhannya, merangkumi segalanya serentak dalam satu masa
2) Allah melihat tidak melalui pancaindera seperti mata
3) Allah tidak pernah cuai atau lalai melihat makhlukNya
4) Allah melihat segala yang nyata, yang ghaib, yang besar, yang kecil, yang jauh dan yang dekat
5) Allah melihat segalanya tiada yang terlepas dari penglihatan Allah
6) Allah sentiasa melihat berterusan tanpa henti, tanpa penat atau bosan
7) Allah melihat dengan terang dan jelas
8) Tiada yang boleh terselindung dari dilihat Allah.

Maka hendaklah kita berhati-hati dalam segala yang kita lakukan kerana Allah sentiasa melihat kita walaupun kita bersembunyi di tempat rahsia atau yang gelap.sekali pun, pasti Allah melihatnya.

Subhanallah, Maha Suci Allah yang Maha Sempurna dari segala kekurangan. Allah wajib bersifat Basar (Melihat) dan mustahl Allah itu al-Umyu (buta).




Like this post?

Thank you for reading.