daun keladi ungu

Sifat Mustahil Allah - Ihtiyaaju Ilal Ghairi

7 RAMADAN 1438 HIJRAH

Sifat-sifat mustahil Allah merupakan sifat-sifat kekurangan bagi Allah. Allah bersifat Maha Sempurna dan Maha Terkaya di sekelian alam. Adalah mustahil dan tidak diterima akal bahawa Tuhan yang sifatNya Maha Sempurna dan Maha Terkaya ada mempunyai sifat-sifat kekurangan. Maka itu wajiblah ditolak semua sifat-sifat mustahil dari Diri Allah swt.

Sifat Mustahil Allah - Ihtiyaaju ilal ghairi
Ertinya berhajat Allah kepada yang lain.

Allah berhajat kepada yang lain membawa maksud bahawa Allah memerlukan sesuatu untuk menjadi Tuhan. Allah perlu kepada alam ciptaanNya untuk menjadi Tuhan Pencipta. Tanpa alam, Allah tidak dapat dipanggil sebagai Pecipta.

Allah berhajat kepada yang lain juga bermaksud bahawa Allah perlu kepada perintahNya dan hukumanNya sebagai bukti bahawa Allah itu adalah Tuhan yang berkuasa di semesta alam

Allah berhajat kepada yang lain juga membawa maksud bahawa Allah mengambil faedah atau manfaat dari apa juga yang kejadian yang telah dijadikan di alam ini untuk kepentingan Diri Nya sendiri.

Ketiga-tiga maksud ini adalah mustahil bagi Allah. Allah tidak perlu kepada alam ciptaanNya untuk menjadi Tuhan Pencipta. Allah tidak perlu kepada perintahNya dan hukumanNya sendiri untuk menjadi berkuasa di seluruh alam. Dan Allah tidak ambil faedah atau manfaat dari kejadian yang dijadikan di alam ini.

Allah wajib bersifat Kiamuhu Binafsih yang bererti Allah berdiri dengan sendiriNya tanpa perlu kepada sesuatu jua pun. Sifat tidak perlu kepada sesuatu adalah kerana Allah itu sudah Maha Terkaya dari sekelian alam dan sekelian alam berhajat kepadaNya. Ini dinamakan sebagai sifat ketuhanan.

Alam dan segala isinya akan binasa sedangkan Allah bersifat Baqa' iaitu kekal adaNya. Yang bersifat kekal tidak mungkin berhajat kepada yang bersifat binasa. Ini adalah mustahil. Maka wajib tolak dan nafikan bahawa Allah ada mempunyai sifat-sifat mustahil.

Allah itu wajib bersifat Kiamuhu binafsihi (Berdiri dengan sendiriNya) dan mustahil bersifat Ihtiyaaju ilal ghairi (berhajat kepada yang lain).


Like this post?

Thank you for reading.

Posts from This Journal by “sifat mustahil” Tag