bunga airis

Mengenal ALLAH

9 Jamadilawal 1433

Hukum mengenal ALLAH adalah fardu ain. Cara untuk mengenal ALLAH ialah melalui Ilmu Tauhid. Mengenal ALLAH adalah amat penting dalam kehidupan seorang Muslim.

Rukun iman yang pertama adalah percayakan ALLAH sementara syarat iman yang pertama adalah kasihkan ALLAH. Untuk percaya dan kasih mestilah kenal terlebih dahulu. Percaya tanpa kenal adalah mustahil dan tertolak imannya. Untuk merasa kasih dan cinta akan sesuatu yang tidak dikenal adalah tidak mungkin dan tidak diterima oleh akal yang sihat.

Dalam melaksanakan ibadah sembahyang, syarat mendapat kusyuk dalam sembahyang ialah kenal siapa yang sedang disembah. Dalam mengucap syahadat, kita naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembahyang melainkan ALLAH. Untuk menjadi saksi mestilah tahu dan kenal. Saksi yang tidak tahu dan kenal adalah saksi dusta.

Selain itu, mengenal siapa itu ALLAH adalah amat penting bagi menjawab soalan-soalan tentang ketuhanan yang mana jika tiada Ilmu Tauhid akan membawa kepada kesesatan. Perhatikan soalan-soalan berikut ini:-

* Siapa ALLAH?
* Di mana ALLAH berada?
* Bagaimana boleh percaya ALLAH itu ada?
* Apa yang dimaksudkan ALLAH itu ada?
* Apa bukti ALLAH itu ada?
* Mengapa tidak boleh melihat ALLAH?

Mungkin ada lagi soalan-soalan ketuhanan yang sukar dijawab atau diterangkan jika tiada ilmu mengenal ALLAH iaitu Ilmu Tauhid.

Mengenal ALLAH adalah satu ibadah yang dituntut. Maka sama seperti ibadah-ibadah lain, mengenal ALLAH juga mengandungi syarat dan rukunnya.

Syarat-Syarat Mengenal ALLAH

Ada 3 syarat untuk mengenal ALLAH iaitu:-

  • iktikad yang putus

  • muafakat yang sebenar

  • dalil

1) Iktikad yang putus
Iktikad ertinya kepercayaan di dalam hati. Putus adalah jazm (yakin). Bila ada jazm, tidak boleh ada syak, tidak boleh ada zan dan tidak boleh ada waham.

Ertinya dalam hukum adalah seperti berikut:-
* syak       -------- separuh (1/2) percaya, separuh (1/2)  tidak percaya. {berbelah-bagi}
* zan         -------- suku (1/4) percaya, tiga suku (3/4) tidak percaya.      {lebih banyak syak}
* waham  -------- tiga suku (3/4) percaya, suku (1/4) tidak percaya.       {sedikit syak}

Maka iktikad yang putus ertinya yakin yang seyakin-yakinnya tanpa ada rasa syak atau ragu-ragu. Jika masih ada perasaan itu maka iktikad (kepercayaan) itu belum cukup dan wajib teruskan belajar tauhid kerana diri berkenaan masih belum dapat mengenal ALLAH dan kemungkinan melakukan perkara-perkara yang syirik adalah amat besar.

2) Muafakat yang sebenar
Iaitu muafakat yang masyhur dan diikuti ramai. Ajaran ahlil sunnah wal-jamaah adalah yang benar kerana mengikut perjalanan Nabi saw serta diikuti ramai seluruh dunia. Jauhi ajaran yang menyalahi sunnah atau yang ganjil atau yang berahsia serta tersendiri. Jangan kita terkeluar dari golongan ramai dan  masuk ke kumpulan yang kecil kerana kemungkinan ianya adalah ajaran yang salah. Muafakaat yang sebenar iaitu iktikad tauhid tidak berubah sejak zaman Nabi Adam as. sehinggalah ke Hari Kiamat.

3) Dalil
Dalil ertinya bukti atau tanda terhadap ALLAH. Tiap-tiap yang benar mesti ada bukti atau dalil. Dengan adanya bukit maka kepercayaan itu akan lebih kuat dan yakin. Dalil untuk mengenal ALLAH adalah melalui akal dan al-Quran.

Tidak diterima kepercayaan atau beiman kepada ALLAH hanya melalui taklik iaitu mengikut sahaja fahaman dan kepercayaan orang lain tanpa berusaha belajar dan merasa yakin terhadap dalil-dalil yang dibahaskan. Iman mesti datang dari hati yang jazm. Ada 2 jenis taklik dalam tauhid iaitu:-

*taklik putus --- sah iman tetapi digelar Muslim durhaka kerana merasa yakin dengan fahaman orang lain tanpa belajar.
*taklik tidak putus --- tidak sah iman kerana ikut fahaman orang lain tetapi tidak yakin.

Dalam hukum syarak kita diboleh bertaklik kepada mana-mana fahaman (mazhab) yang diakui tetapi dalam soal kepercayaan dan keimanan tidak boleh hanya ikut fahaman orang lain walau fahaman itu diakui. Iman mesti datang dari taklik yang putus iaitu kepercayaan yang berdasarkan keyakinan pada dalil-dalil itu sendiri.

Rukun-Rukun Mengenal ALLAH
Rukun untuk mengenal ALLAH ada 2:-

  • akal

  • ilmu

Mengenal ALLAH mesti dengan menggunakan akal dan ilmu. ALLAH adalah ghaib maka untuk mengenalNya bukan melalui pacaindera yang nyata tetapi melalui ilmu kemudian difikirkan oleh akal.

Kata ulama :-
Yang tidak dapat itulah dapat. Ertinya tidak dapat dihuraikan sifat-sifat ALLAH dengan terperinci (pacaindera) kerana tidak ada persamaan dengan makhluk. ALLAH bersifat ketuhanan dan tiada yang sama denganNya. ALLAH bukan benda. ALLAH tidak boleh diserupai atau menyerupai sesuatu di dunia dan di akhirat. Maka yang tidak dapat dihurai (dengan pacaindera) itulah ALLAH.

4 Peringkat Mengenal ALLAH

1) Kenal nama sahaja.
ALLAH adalah lafaz kebesaran yang terkenal di langit dan di bumi. Ia adalah nama DIRI yang wajib ada. ALLAH adalah nama DIRI yang mempunyai sifat ketuhanan.

Nama-nama ALLAH sebenarnya tidak terbilang banyaknya. Dalam Hadith Nabi saw. ada disebut 99 buah nama ALLAH yang dikenali sebagai Asma-Ulhusna. Ia membawa erti Nama-Nama Terbaik. Nama-nama ALLAH melambangkan sifat-sifat ketuhanan ALLAH. Dan nama yang teragung adalah ALLAH.



ASMA-ULHUSNA

   



2) Kenal yang empunya nama.
Untuk kenal DIRI yang empunya nama ALLAH ialah dengan mengenali sifat-sifat ALLAH. Sifat-sifat ALLAH terbagi 3:-

  • Sifat-sifat wajib

  • Sifat-sifat mustahil

  • Sifat harus

Ada 20 sifat wajib, 20 sifat mustahil dan 1 sifat harus yang mesti dibelajari dan difahami supaya kenal siapakah DIA yang dipanggil ALLAH itu.

3) Kenal sehingga mendatangkan rasa mesra, kasih dan cinta.
Untuk dapat merasa mesra, kasih dan cinta kepadaNya, mestilah gunakan akal dan melihat kewujudan alam ini. Alam adalah ciptaanNya yang agung dan merupakan tanda atau logo si Pencipta. Dengan melihat kejadian alam akan dapat merasa kebesaran dan kehebatan Yang Maha Pencipta.

4) Kenal sehingga ke peringkat fana fi wujudilillah.
Ertinya merasa begitu asyik sehingga hilang dirinya dengan kewujudan ALLAH. Ini adalah peringkat makrifat tertinggi dalam mengenal ALLAH. Inilah peringat para ambiak.


Like this post?

Thank you for reading.
Tags: