daun keladi ungu

Perkara-Perkara Yang Merosakkan Puasa

13 RAMADAN 1432 HIJRIAH

Puasa yang batal adalah puasa yang tidak sah dan wajib diqadak kemudiannya. Sementara puasa yang rosak pula tetap sah dan tidak batal. Puasa yang rosak juga tidak perlu diqadakkan semula. Apakah yang boleh menyebabkan puasa itu menajadi rosak?

Perkara-perkara yang boleh merosakkan puasa adalah perkara-perkara yang haram dilakukan samada di dalam puasa atau di luar puasa. Melakukan perkara-perkara ini hukumnya adalah berdosa. Maka seorang yang sedang menjalani ibadah puasa tetapi pada masa yang sama tetap melakukan perkara yang diharamkan akan merosakan puasanya itu. Puasa itu tetap sah dan tidak batal. Kewajipan puasanya juga gugur dan tidak dituntut mengqadakkannya kembali. Puasa yang rosak tiada nilai di sisi ALLAH swt. Seperti kata sebuah hadith Rasulullah saw, yang bermaksud,

"Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi hanya dapat lapar dan dahaga sahaja."

Ertinya puasa itu tiada apa-apa nilainya dan tidak mendapat pahala.

Perkara-perkara yang merosakkan puasa :-

1) Semua maksiat yang terbit dari lidah.
Ada 8 maksiat lidah yang diharamkan kita dari melakukannya. Membuat maksiat lidah ini adalah berdosa hukumnya dan orang yang melakukannya ketika sedang berpuasa maka rosak lah puasanya.

Maksiat Lidah

  • berdusta

  • menyalahi janji

  • mengumpat

  • berbantah-bantah

  • menyuci diri

  • mendoakan dengan kejahatan

  • melaknat / memaki

  • bergurau dengan mengejek

Dari hadith Qudsi, yang bermaksud,
"Siapa yang tidak boleh meninggalkan kata-kata maksiat dalam bulan puasa, ALLAH tidak perlukan dia meninggalkan makan dan minum."
Ertinya tiada gunanya puasa seseorang yang tidak dapat meninggalkan maksiat lidah.
ALLAH marah kalau kita boleh meninggalkan yang halal tetapi tidak yang haram.

Selain dari itu, hendaklah memelihara lidah dari berkata-kata tentang perkara yang sia-sia dan tidak mendatangkan manfaat seperti berbual tentang keduniaan atau menyanyi-nyanyi. Ini semua akan mengurangkan pahala puasa kita dan merosakkannya.

2)  Maksiat yang terbit dari pandangan mata.
Pelihara pandangan mata dari melihat perkara-perkara yang dilarang seperti menonton filem yang kurang sopan, melihat aurat orang, memandang seorang dengan keinginan nafsu. Wajib menundukkan pandangan mata ketika sedang berpuasa supaya terpelihara dari melakukan dosa-dosa yang berkaitan dengan apa yang kita pandang.

3) Maksiat yang terbit dari tangan.
Perkara-perkara yang dilarang dari dilakukan oleh tangan kita ialah seperti mencuri, memukul orang atau haiwan, merosakkan harta benda orang dan sebagainya. Ketahuilah bahawa semua perkara yang merosakkan ini akan merosakkan puasa juga.

4) Maksiat yang terbit dari telinga.
Semasa berpuasa jagalah telinga supaya tidak mendengar perkara-perkara yang mendatangkan dosa seperti mendengar cerita keburukan orang lain, lagu-lagu yang melalaikan dan sebagainya. Jauhilah dari mendengar semua perkara yang sia-sia dan tidak mendatangkan faedah.

5) Maksiat dari kaki.
Maksiat yang dilakukan oleh kaki ialah seperti pergi ke tempat-tempat hiburan, pesta-pesta yang melekakan, dan semua tempat yang bercampuran lelaki dan wanitanya adalah bebas. Ini semua adalah dosa dan jika diakukan semasa sedang berpuasa maka rosaklah puasa itu dan hilang nilainya.

6) Maksiat yang terbit dari perut.
Keinginan mengisi perut dengan berbagai juadah berbuka sehingga berlebihan lalu menjadi membazir adalah satu dosa. Membuang makanan adalah haram hukumnya. Maka janganlah mengurangi pahala puasa semasa sedang berbuka dengan mengikut apa yang perut kita kehendaki.

7) Maksiat kemaluan.
Mengeluarkan air mani dengan sengaja di siang Ramadan adalah haram. Dia berdosa tetapi puasanya tidak batal dan tetap sah. Namun puasa itu telah rosak dan kurang nilainya.

8) Berhias dan bersolek bagi wanita.
Dengan berhias dan bersolek akan menarik perhatian kaum lelaki yang ada kemungkinan memandangnya dengan keinginan. Lelaki itu berdosa serta puasanya rosak sementara bagi wanita tadi dia juga berdosa kerana membiarkan lelaki yang bukan mahramnya memandang akan kecantikannya. Sesiapa yang melakukan dosa semasa sedang berpuasa maka puasa itu adalah rosak.

9) Membuka aurat.
Membuka aurat bagi lelaki dan wanita hukumnya adalah haram dan berdosa. Maka itu puasanya pun rosak kerana melakukan maksiat yang diharamkan ALLAH.

10) Meninggalkan sembahyang fardu.
Orang yang meninggalkan sembahyang fardu adalah telah melakukan dosa besar. Orang yang berpuasa Ramadan tetapi tidak menunaikan sembahyang fardu yang lima waktu tetap di dalam dosa walaupun puasanya itu sah. Puasa orang yang tidak sembahyang tiada nilainya di sisi ALLAH swt.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Like this post?
Tags: