heliconier

Perkara-Perkara Yang Membatalkan Puasa

5 RAMADAN 1432 HIJRIAH

Ada 9 perkara yang membatalkan puasa.

1) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga tubuh.
Benda-benda yang keras, cecair atau pun semburan tidak boleh masuk ke dalam rongga tubuh orang yang sedang berpuasa. Jika tidak sengaja atau terlupa, maka puasa itu tidak batal dengan syarat apabila teringat mesti segera menghentikan perbuatan itu.


************************************************************************

BAHAGIAN-BAHAGIAN RONGGA

a) MATA
Para ulama sependapat menghukum bahawa mata bukanlah rongga. Walau bagaimanapun, mata mempunyai satu saluran yang menebus ke tekak di mana cecair seperti airmata ubat mata boleh memasuki rongga tekak tanpa sengaja. Jika ada cecair yang masuk ke rongga tekak maka batallah puasa itu. Dari itu adalah lebih baik dan untuk menjaga puasa kita hendaklah berhati-hati dan memastikan tiada sesuatu pun yang memasukki saluran mata itu.


Perhatian:-
* Elakkan dari menggunakan ubat mata jika tidak perlu. Jika perlu menggunakannya, maka mestilah pastikan ia tidak mengalir ke saluran mata dan masuk ke tekak. Jika terasa ia mengalir ke tekak, segeralah mengeluarkannya seberapa boleh.

* Memakai kanta lengkap atau bercelak di mata tidak membatalkan puasa dengan syarat celak itu tidak masuk ke saluran mata yang menuju ke tekak.

* Jika mandi di siang Ramadan, samada mandi biasa atau mandi wajib, jika air masuk ke dalam mata, puasa tetap sah dan tidak batal dengan syarat air tidak masuk ke saluran mata yang menuju ke tekak.

* Menangis tidak membatalkan puasa.

b) TELINGA
Telinga adalah rongga tubuh maka itu kita tidak boleh mengorek telinga disiang Ramadan. Jika mandi di siang Ramadan lalu air masuk ke dalam rongga telinga, hukumnya ada 2 :-

  • jika mandi biasa maka batal puasanya kerana disengajakan mandi.

  • jika mandi wajib maka tidak batal puasanya kerana ia suatu yang fardu.

*Memakai earfon tidak membatalkan puasa kerana earfon itu terletak di kembang telinga dan bukan di rongga telinga.

c) HIDUNG
Sempadan rongga hidung ialah di permulaan batangnya. Kawasan kembang hidung belum dikira rongga. Maka tidaklah batal puasa jika memasukkan sesuatu ke dalam kawasan kembang hidung. Tetapi adalah lebih baik kita jangan memasukkan sesuatu pun ke kawasan kembang itu tanpa keperluan supaya puasa kita terpelihara dengan baik.

* Menghidu bau-bauan seperti bau wangi atau bau masakan tidak membatalkan puasa. Jika sengaja menghidu masakan orang lain adalah makruh sahaja.

* Mencium anak tidak batalkan puasa.

* Mencium sesuatu yang menaikkan nafsu syahwat adalah haram tetapi tidak membatalkan puasa.

* Hidung berdarah tidak batalkan puasa.

d) MULUT / TEKAK
Sempadan rongga ialah melepasi anak tekak. Memasukkan atau megulum sesuatu di dalam mulut tidak membatalkan puasa dengan syarat tidak melepasi sempadan rongga.

Sesuatu yang berasal dari dalam mulut tidak akan membatalkan puasa jika melepasi sempadan rongga tekak. Maka tidaklah perlu seorang yang berpuasa itu berludah kerana ludah adalah berasal dari dalam mulut. Tetapi jika air ludah sudah melepasi bibir maka ia mesti dibuang kerana jika tertelan akan membatalkan puasa. Jika berdarah dalam mulut mesti dibuang kerana akan membatalkan puasa jika tertelan.

Sesuatu yang berasal dari dalam rongga tekak jika melepasi anak tekak ke kawasan mulut maka ia juga mesti dibuang kerana jika tertelan akan membatalkan puasa.

* Menggosok gigi sebelum waktu Zuhur dibolehkan dan tidak membatalkan puasa. Tetapi jika menggosok gigi selepas waktu Zuhur adalah makruh sahaja.

* Mencabut gigi atau menerima suntikan di gusi tidak membatalkan puasa dengan syarat ubat suntikan itu tidak tertelan.

* Merasa masakan sendiri dibolehkan dengan syarat segera dibuang. Merasa masakan orang lain adalah makruh.

* Mengunakan ubat semburan untuk penyakit semput akan membatalkan puasa kerana semburan ubat itu akan masuk ke rongga tekak.

e) TEMPAT KELUAR SUSU (Puting payudara)
Tempat keluar susu adalah rongga kerana ia boleh mengeluarkan sesuatu. Puasa akan batal jika disuntikkan sesuatu ke dalam puting itu.

* Liang roma di kulit bukanlah rongga maka tidak batal puasa jika menerima suntikan.

* Menderma darah tidak membatalkan puasa.

f) TEMPAT BUANG AIR BESAR DAN KECIL
Memasukkan sesuatu tanpa syahwat ke dalam tempat buang air besar dan kecil akan batalkan puasa tetapi tidak wajib mandi hadas. Contoh membuat pep smear akan batalkan puasa tetapi tidak wajib untuk mandi hadas.

* Masukkan jari ke dalam kemaluan ketika beristinjak akan batal puasa.

* Jika ketika buang air besar, najis yang keluar masuk semula maka batal puasanya.

* Kentut di dalam air akan membatalkan puasa kerana air akan masuk menggantikan angin yang keluar itu.

g) RONGGA KERANA PEMBEDAHAN.
Rongga yang terjadi (atau luka) kerana pembedahan seperti di perut, dada dan tekak hendaklah dijaga rapi supaya tidak dimasuki sesuatu kerana ia akan membatalkan puasa orang itu. Maka rongga atau luka itu mestilah ditutup ketika mandi.

* Berbekam tidak batalkan puasa.


******************************************************************

2) Bersetubuh di siang Ramadan dengan sengaja
Orang yang bersetubuh di siang Ramadan dengan sedar dan sengaja adalah berdosa dan batal puasanya. Dia akan dikenakan denda kaffarah puasa selama 2 bulan berturut-turut. Jika dibatalkan satu hari kaffarah puasa sebelum genap 2 bulan maka dia dikehendaki mengulangi semula kaffarah puasa itu dari mula. Hukuman ini hanya bagi pihak suami sahaja. Bagi isteri, dia juga berdosa dan wajib menqadak puasanya yang batal itu tanpa dikenakan kaffarah.

Jika ketika sedang melakukan persetubuhan mereka dalam keadaan lupa maka tidaklah batal puasanya tetapi tatkala teringat maka gugurlah puasanya itu dan wajib diqadakkan kemudian tanpa didenda kaffarah. Suami isteri boleh bersatu di malam Ramadan tetapi mesti jaga jangan sampai terlajak masuk waktu Subuh.

3) Keluar air mani dengan sengaja
Keluar air mani dengan sengaja adalah dengan menonton atau melihat atau membaca sesuatu yang boleh menaikkan nafsu syahwat hingga keluar air mani. Puasanya batal dan wajib mandi hadas. Jika sedang tidur lalu mimpi dan keluar air mani, puasanya tidak batal tetapi wajib mandi hadas kerana keluar air mani adalah satu hadas besar.

4) Muntah dengan sengaja
Jika tahu sesuatu benda tertentu boleh menyebabkan kita muntah tetapi kita tetap melakukannya sehingga muntah maka itu adalah disengajakan. Maka batal puasanya hari itu. Muntah yang tidak kita sengajakan tidak membatalkan puasa.

5) Gila walau sekejap
Orang yang diserang sakit gila seperti histeria walaupun sekejap tetap batal puasanya walau tidak disengajakan. Wajib diqadak.

6) Pitam yang berkekalan sepanjang hari
Pitam atau pengsan sehingga masuk waktu Maghrib membuat puasa itu batal. Wajib diqadakkan kemudian hari. Jika tersedar dari pengsan sebelum masuk waktu Maghrib maka puasanya tidak batal dan tetap sah dan boleh diteruskan.

7) Kedatangan haid atau nifas sebelum masuk waktu Maghrib.
Walau pun haid atau nifas datang beberapa saat sebelum masuk waktu Maghrib, puasa tetap batal dan wajib diqadak. Adalah haram bagi wanita yang kedatangan haid atau nifas meneruskan puasa. Wanita itu wajib berbuka walau dengan seteguk air sahaja.

8) Berbuka atau bersahur tidak pada masanya yang tepat dan betul.
Jika merasa yakin waktu berbuka sudah masuk lalu berbuka puasa, kemudian mendapati waktu berbuka itu belum lagi masuk maka batallah puasanya walau tidak disengajakan. Wajib diqadakkan semula.

Jika seseorang bersahur dengan sangkaan bahawa waktu itu belum lagi masuk waktu Subuh, kemudian didapati sebenarnya waktu Subuh telah pun berlalu ketika dia bersahur itu, maka wajiblah dia mengimsakkan dirinya segera (berhenti makan) walaupun puasanya itu tidak lagi sah dan wajib diqadak kemudiannya. Haram baginya makan dan minum sepanjang hari itu.

9) Murtad
Jika seorang Muslim yang sedang berpuasa menjadi murtad(keluar dari Islam) dengan sengaja atau tidak puasanya batal dan wajib bertaubat dan mengucap 2 kalimah syahadah serta mengqadakkan semula puasa itu.

Murtad dengan 3 sebab:-

  • dengan memakai lambang agama lain seperti salib.

  • dengan mengeluarkan kata-kata yang mempermainkan hukum ALLAH swt

  • ada lintasan dalam hati yang membenci agama Islam

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Like this post?
Tags: