raya merah

Syarat-Syarat Sah Puasa

1 RAMADAN 1432 HIJRIAH

Syarat-syarat puasa fardu Ramadan dibagi 2:-

  • syarat-syarat wajib puasa

  • syarat-syarat sah puasa

Syarat-syarat sah puasa fardu Ramadan
Syarat sah puasa fardu Ramadan ada 6. Kesemua syarat-syarat ini mesti ada pada diri seorang Muslim untuk puasanya diterima dan sah. Jika terdapat salah satu dari syarat-syarat ini yang tertinggal maka puasa itu menjadi tidak sah dan batal.

1) Islam
Mesti dalam keadaan Islam dari masuk waktu Subuh hingga masuk waktu Maghrib. Jika sebelum masuk waktu Maghrib ada sesuatu lintasan di dalam hati atau perbuatan atau perkataan yang menyalahi akidah maka puasanya sertamerta batal dan menjadi tidak sah. Orang itu wajib bertaubat dan beristighfar kemudian wajib mengqadakkan semula puasa yang batal itu di waktu lain.

2) Berakal
Orang yang sedang berpuasa mesti di dalam keadaan sihat akalnya dari masuk waktu Subuh hingga masuk waktu Maghrib. Jika sakit gila seperti histeria atau terlalu tertekan perasaan sehingga tidak dapat mengawal diri maka puasanya batal dan menjadi tidak sah pada waktu itu juga walaupun gilanya itu hanya sekejap sahaja. Dia tidak berdosa tetapi wajib mengqadakkan puasa itu di lain waktu.

3) Suci dari haid dan nifas
Jika sebelum masuk waktu Maghrib, darah haid keluar maka puasa pada hari itu batal dengan sertamerta walau hanya tinggal beberapa saat sahaja waktu berbuka itu. Wanita yang didatangi darah haid ketika dalam keadaan berpuasa fardu Ramadan wajib berbuka pada waktu itu juga dan puasa itu wajib diqadak kemudian nanti. Adalah haram bagi wanita yang haid atau nifas meneruskan puasa atau mengimsakkan (menahan) diri dari makan dan minum.

Bagi yang darah haid atau nifasnya telah berhenti sebelum masuk waktu Subuh boleh menjatuhkan niat puasa sebelum masuk waktu Subuh dan berpuasa esoknya walaupun belum mandi hadas besar. Mandi hadas besar boleh ditangguh ke siang harinya.

4) Berniat pada malam hari
Jatuhkan niat untuk puasa wajib, mesti pada malam hari. Malam ertinya dari masuk waktu Maghrib hingga sebelum masuk waktu Subuh. Jika terlupa berniat, maka puasanya tidak sah tetapi masih wajib menahan diri dari makan dan minum di siang hari. Haram bagi orang yang tidak berniat puasa, makan dan minum di siang hari.

*Bagi puasa sunat, dibolehkan berniat ketika sudah masuk waktu Subuh dengan syarat tidak makan dan minum dari waktu Subuh itu.

5) Menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa
Melakukan ibadah puasa mestilah dengan ilmu. Wajib tahu perkara-perkara yang membatalkan puasa supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh menjejas puasa kita.

6) Bertepatan dengan waktunya
Puasa yang sah ialah puasa yang dilakukan dari masuk waktu Subuh hingga masuk waktu Maghrib. Tidak boleh terlebih atau terkurang dari itu. Jika bersahur ketika sudah masuk waktu Subuh atau berbuka sebelum masuk waktu maghrib maka puasa hari itu adalah tidak sah dan batal. Ini walaupun seseorang itu tidak sengaja melakukan perkara-perkara itu. Bagaimana pun dia tetap wajib menahan diri dan kemudian qadakkan kembali puasa itu.



<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<
Like this post?
Tags: