bunga ungu

Nama-Nama Hari Kiamat

17 REJAB 1432 HIJRIAH

PENGENALAN KEPADA HARI KIAMAT

Mempercayai tentang kedatangan Hari Kiamat adalah akidah orang beriman. Akidah ertinya kepercayaan-kepercayaan yang merangkumi rukum iman yang enam iaitu :-

  • percayakan ALLAH

  • percayakan Nabi-Nabi ALLAH

  • percayakan Malaikat-Malaikat ALLAH

  • percayakan Kitab-Kitab ALLAH

  • percayakan Hari Kiamat

  • percayakan qadak dan qadar ALLAH

Hari Kiamat juga adalah sebahagian dari perkara-perkara sam'iyat yang wajib diimani oleh Mukmin. Perkara-perkara sam'iyat adalah perkara-perkara yang ghaib yang disampaikan oleh Nabi Muhammad saw. Perkara-perkara sam'iyat ialah yang belum lagi terjadi dan pasti akan terjadi.

Hadith-hadith mengenai Hari Kiamat, yang maksudnya :-

  • Hari Kiamat terjadi adalah seperti kilat iaitu terlalu cepat.

  • Hari Kiamat terjadi sebelum sempat menyuap makanan ke mulut.

  • Hari Kiamat terjadi apabila diangkat cahaya bulan ertinya bila bulan sudah tidak bercahaya lagi maknanya matahari sudah padam dan tidak bersinar lagi maka matilah bumi dan segala isinya.

Al-Quran menyebut Hari Kiamat dengan berbagai-bagai nama dan setiap nama itu menggambarkan tentang keadaan manusia menghadapi terjadinya hari itu.

NAMA-NAMA HARI KIAMAT

1) Yaumul Qiamah
Qiam ertinya berdiri. Yaumul Qiamah adalah hari yang semua orang akan berdiri. Mereka merasa bimbang dengan nasib mereka.

2) Yaumul Hasrah
Ertinya Hari Penyesalan. Manusia menyesal tidak mengisi umur mereka dengan amal. Apa yang di sisi mereka telah habis dan binasa. Apa yang di sisi ALLAH akan kekal. Mereka telah tukarkan apa yang kekal dengan apa yang akan binasa. Inilah sebab penyesalan manusia di hari itu.

3) Yaumul Naadamah
Ertinya hari manusia terlalu kesal.

Dari Hadith Nabi saw, maksudnya; ada 2 manusia yang terlalu kesal pada hari kiamat :-

  • orang yang boleh menuntut ilmu tetapi tidak mahu.

  • orang yang mengajar orang lain tetapi dirinya sendiri tidak beramal.

4) Yaumul Muhasabah
Hari Perhitungan. Inilah hari yang segala amal baik dan buruk kita akan dihitung tanpa satu pun yang tertinggal.

5) Yaumul Zalzalah
Hari Kegoncangan. Dalam surah al-Zilzal diceritakan akan suasana ketika bumi digoncang dengan segoncang-goncangnya. Ketika itu manusia akan kebingungan and merasakan diri mereka mabuk tetapi yang sebenarnya itu adalah satu siksa dari ALLAH.

6) Yaumul Qari'ah
Hari Kiamat. Dalam surah al-Quri'ah diceritakan pada hari itu manusia semua akan berdiri termasuk para Nabi. Lutut mereka berlaga kerana keadaan ketakutan yang amat sangat.

7) Yaumul Ghasiah
Hari Pengsan. Di hari itu manusia seakan pengsan kerana terlalu susah keadaannya. Manusia pada hari itu tidak boleh mati kerana kematian sudah tiada lagi.

8) Yaumul Sokhah
Hari Yang Memekakkan Telinga. Pada hari itu bunyi pekikan dan jeritan amat dasyat sekali. Semua dalam ketakutan yang amat sangat dan suasana amat riuh dan penuh kesusahan.

9) Yaumul Laayam Liku Ba'dhukum Liba'dhi
Hari yang akan lari seorang suami dari isterinya, seorang ayah dri anaknya, seorang teman dari sahabat karibnya dan seterusnya. Manusia akan nafsu nafsi dan memikirkan untuk menyelamatkan diri sendiri sahaja.

10) Yaumul So'ikah
Hari yang riuh. Suasana pada hari itu amat bising gemuruh yang dasyat dengan manusia dalam keadaan tidak tentu arah.

11) Yaumul Waqi'ah
Hari yang penuh rahsia. Pada hari banyak rahsia akan terbongkar.

12) Yaumul Hak'kah
Hari kepastian. Hari yang pasti tiba. Hari yang akan menentukan siapa yang baik dan siapa yang jahat.

13) Yaumul Rajifah
Hari gempa yang besar. Pada hari itu seluruh bumi akan dilanda gempa yang amat besar sekali. Tiada tempat yang tidak dilanda gempa itu.


14 Yaumul Tommah
Hari yang paling susah. Hari itu adalah hari yang paling susah bagi umat manusia dan segala isi alam ini. Tidak ada kesusahan melainkan kesusahan di hari itu.

15) Yaumul Tollaaq'
Hari yang manusia bercerai dan lari dari keluarganya. Pada hari itu semua manusia hanya memikirkan tentang keselamatan diri masing-masing sahaja.

16) Yaumul Sokhah
Hari yang manusia lari dengan urusan masing-masing.

17) Yaumul Jazak
Hari Pembalasan. Pada hari itu segala perbuatan baik atau buruk akan dibalas dengan setimpal.

18) Yaumul Tanaad
Hari Panggilan. Pada hari itu semua manusia dari zaman Nabi Adam as. sehingga manusia terakhir yang lahir pada hari itu akan dipanggil berkumpul. Tiada seorang pun akan terlepas dari panggilan itu.

19) Yaumul Wa'eed
Hari ancaman dan janji buruk. Hari itu dijanjikan kesusahan bagi semua.

20) Yaumul Wazan
Hari Pertimbangan. Hari yang segala amal akan ditimbang. Timbangan amal yang ringan akan dapat Hawiyah (api ALLAH) yang amat dasyat. Manusia yang mendapat Hawiyah adalah seperti anak kecil menerkam ibunya. Segala amal baik dan buruk walau sekecil mana sekalipun akan ditimbang dengan teliti.

21) Yaumul Fashl
Hari Keputusan. Hari yang akan ditunjukkan siapa yang baik, siapa yang jahat.

22) Yaumul Laatajzi Nafsun an Nafsin Shai a
Hari yang tidak boleh menolong seorang kepada yang lain. Hari itu setiap orang akan terlalu susah dengan diri sendiri.

23) Yaumul Ba'ath
Hari Kebangitan. Hari yang mana semua manusia akan dibangkitkan dari mati dan hidup semula.

24) Yaumul Jamaa'  
Hari Berkumpul. Semua manusia akan dikumpulkan dan berhimpun dalam satu kumpulan yang amat besar.

25) Yaumul Khizye
Hari Kehinaan. Pada hari itu semua manusia akan merasa hina kerana mereka di dalam keadaan tidak berpakaian, kehausan dan kelaparan.

26) Yaumul Hazil
Hari yang susah.Tiada apa yang diingati oleh manusia pada hari itu kecuali tentang apa yang akan berlaku kepada diri masing-masing.

27) Yaumuddin
Hari Agama. Hari yang akan menampakkan agama yang sebenar iaitu agama Islam. Hari yang akan terbukti kebesaran dan kebenaran agama Islam.

28) Yaumul Nusyur
Hari Kebangkitan. Itulah hari yang semua manusia akan dihidupkan dan dibangkitkan kemabali untuk menerima balasan baik atau yang buruk dari amalan masing-masing semasa hidup di atas muka bumi.

29) Yaumul Khulud
Hari yang kekal. Hari itu tiada penghujungnya. Semua manusia pasti menghadirinya tidak boleh lari lagi.

30) Yaumul Laa Raibafiih
Hari yang tiada keraguan pasti terjadi. Hari kiamat pasti datang tanpa perlu diragui lagi.

31) Yaumul Mukhiid
Hari Terkepung. Hari yang manusia tidak boleh lari ke mana-mana. Mereka akan terpaksa menerima khabar tentang apa yang telah mereka lakukan semasa hidup di dunia.

32) Yaumul 'Azim
Hari yang besar. Hari yang amat besar berita dan deritanya.

33) Yaumul Masyud
Hari yang disaksikan. Semua anggota tubuh akan menjadi saksi di atas segala perbuatan kita.

34) Yaumul Tasykhasyu Fihilabsor 
Hari yang dituju padanya semua pemandangan. Semua akan mengambil berat tentang hari itu kerana ia merupakan perkara penting. Tiada perkara lain yang dipandang melainkan hari itu sehaja.

35) Yaumul Maklum
Hari yang sudah diketahui kedatangannya. Hari yang telah ditetapkan.

36) Yaumul Khuruj
Hari keluar dari kubur. Semua manusia akan keluar dari kubur masing-masing dari manusia pertama zaman Nabi Adam as sehingga kepada manusia terakhir dilahirkan di hari itu.

37) Yaumul Thaqilaa
Hari Berat. Hari yang tidak ada keringanan walau sedikitpun. Manusia sentiasa berada dalam kelaparan, kehausan, sakit dan tidak dapat tidur.


Like this post?
Tags:
Hari Kiamat
1) Tanda-tanda kecil Hari Kiamat.
2) Tanda-tanda besar Hari Kiamat.