raya putih

Syarat-Syarat Sembahyang

17 RABIULAKHIR 1432 HIJRIAH


Setiap ibadah mesti disertai dengan syarat dan rukun. Syarat tidak boleh bertukar ketika ibadah berlangsung iaitu syarat mesti sentiasa ada sepanjang ibadah itu dilaksanakan. Sementara rukun pula tidak semestinya ada berterusan dalam melaksanakan ibadah tersebut.
Sembahyang yang sempurna adalah sembahyang yang cukup syarat-syaratnya. Ada 2 jenis syarat sembahyang iaitu:-
1) Syarat-syarat wajib sembahyang.
2) Syarat-syarat sah sembahyang.
XXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX

Syarat-Syarat wajib sembahyang 

Syarat-syarat wajib sembahyang ada 5. Kelima-lima syarat ini mesti ada barulah jatuh wajib sembahyang. Jika salah satu dari syarat yang 5 ini tiada maka gugurlah kewajipan sembahyang ke atas orang itu.

5 syarat wajib sembahyang adalah:-

1) Islam.
Orang yang telah mengucap dua kalimah syahadat iaitu mengakui Keesaan ALLAH yang mencipta alam. Maka wajiblah orang ini sujud kepada Pencipta alam ini. Orang bukan Islam tidak wajib sembahyang.

2) Baligh.
Tanda-tanda baligh adalah 3 iaitu kedatangan haid bagi wanita, mimpi bagi lelaki dan jika sudah mencapai umur 15 tahun hijrah. Anak yang belum baligh dan di bawah 15 tahun tidak wajib sembahyang.

3) Berakal.
Ertinya akalnya sihat dan waras dalam mengurus kehidupan sehariannya. Orang gila tidak wajib sembahyang.

4) Suci dari haid dan nifas.
Wanita yang sedang haid dan nifas tidak wajib sembahyang malahan berdosa jika mereka menunaikan sembahyang. Mereka juga tidak perlu mengqadakkan sembahyangnya apabila telah bersuci kelak.  Bagi mereka yang sentiasa berhadas kerana penyakit, kewajipan sembahyang tidak gugur dan wajib mendirikan sembahyang dengan cara dhaif thaharah.

5) Masuk waktu
Tidak wajib sembahyang selagi belum masuk waktunya.


XXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX


Syarat-Syarat sah sembahyang
Sembahyang seseorang itu hanya sah apabila ada 10 syarat :-

1) Islam
Iktikad dan akidah wajib dijaga sepanjang masa sembahyang. Dua kalimah syahadah jangan disalah sebut kerana akan merosakkan iktikad dan boleh membawa kepada murtad. Murtad akan jatuh dengan lintasan hati atau memakai lambang agama lain. Jika iktikad rosak maka tidak sahlah sembahyang.

2) Berakal
Waras fikiran dari mula takbiratulihram sehingga salam. Jika hilang akal ketika sembahyang (pitam atau pengsan) maka sembahyangnya menjadi tidak sah dan wajib diqadak semula.

3) Suci dari hadas kecil dan hadas besar
Jika kedatangan hadas kecil atau hadas besar ketika sedang sembahyang maka sembahyangnya menjadi tidak sah dan wajib diulang semula.

4) Suci dari najis
*Sepanjang mengerjakan ibadah sembahyang tidak boleh ada najis di badan, di pakaian dan di tempat sembahyang kecuali najis yang dimaafkan seperti tahi mata, darah jerawat atau debu jalanan.

*Suci dari najis ertinya suci dari hukum syarak bukan setakat bersih sahaja. Mesti yakin di dalam hati bahawa badan, pakaian dan tempat sembahyang adalah suci dari najis yang tidak dimaafkan.

*Tempat yang ada najis boleh dibuat sembahyang dengan syarat ia ditutup dengan satu bekas dan pastikan pakaian sembahyang tidak terjatuh diluar bekas itu.

5) Yakin masuk waktu
Yakin ertinya tidak syak atau ragu-ragu. Yakin sangat penting dalam sesuatu ibadah kerana ia menjadikan ibadah itu sah atau pun tidak. Jika tidak yakin, ibadah yang dilakukan tidak akan sah. Yakin mesti dengan betul. Contohnya:-

*Yakin sudah masuk waktu Zuhur dan memang betul sudah masuk waktu Zuhur maka sembahyangnya adalah sah.

*Yakin waktu Zuhur sudah masuk  ketika mulakan sembahyang tetapi selepas selesai sembahyang mengetahui bahawa sewaktu memulakan sembahyang tadi sebenarnya waktu Zuhur itu belum lagi masuk maka sembahyangnya tadi tidak sah dan wajib diulang sekali lagi.

Maka perkara yakin boleh dibagi 3:-

  • yakin dan betul ~ sah ibadah

  • yakin tetapi tidak betul ~ tidak sah ibadah

  • betul tetapi tidak yakin ~ tidak sah ibadah

6) Mengadap Kiblat
Mengadap kiblat ada 2 keadaan:-

* Ketika berada di Masjidilharam di Mekah.
Wajib mengadapkan dada sepenuhnya ke arah ka'aba. Tidak boleh palingkan dada dari arah ka'aba walau sedikit pun. Jika berada di bucu ka'aba mestilah berdiri serong dan hadapkan dada tepat ke arah ka'aba.

* Ketika berada di luar Masjidilharam atau jauh dari ka'aba.
Mengadap kiblat ialah dengan mengikut arah ka'aba dengan menggunakan kompas. Mesti yakin dengan arah kiblat yang didapati dan mestilah betul kiblat itu.

~Kalau yakin tetapi tidak betul, sembahyang tetap sah dengan syarat tiada orang yang menegur. Jika ada yang menegur maka sembahyang itu menjadi tidak sah dan wajib diulang kembali.
~Kalau kiblat tidak begitu tepat, sembahyang tetap sah asal ia mengadap arah yang betul.
~Kalau arah kiblat bertentangan dengan arah yang betul maka sembahyang itu tidak sah.
~Dalam kenderaan tidak perlu mengadap kiblat. Cukup hanya dengan sembahyang hormat waktu kemudian diqadak sembahyang itu.

7) Menutup Aurat
Wajib menutup aurat bagi wanita dan lelaki. Jika ada aurat yang terbuka maka sembahyang itu menjadi tidak sah.

8) Mengetahui yang fardu dan yang sunat.
Fardu sembahyang adalah rukun sembahyang yang mana wajib dilakukan. Jika fardu sembahyang ditinggalkan, maka sembahyang itu tidak sah dan wajib diulang. Sementara sunat sembahyang boleh ditinggalkan dan tidak menjejas sembahyang.

9) Jangan mengiktikadkan perkara fardu sebagai sunat.
Mengiktikadkan bahawa perkara fardu dalam sembahyang sebagai sunat akan menjadikan sembahyang tidak sah kerana perkara fardu tidak boleh ditinggalkan. Mengiktikadkan perkara sunat sebagai fardu tidak menjejas sembahyang.

10) Tidak membuat perkara-perkara yang membatalkan sembahyang.
Melakukan perkara-perkara yang membatalkan sembahyang dengan sendirinya menjadikan sembahyang itu tidak sah dan wajib diulang.


Like this post?

Thank you for reading.